SESEORANG meminta kepada Allah hidupnya berkat dan selamat, lalu Allah memilih untuknya takdir yang terbaik. Tetapi dia marah dan enggan menerima takdir Allah itu, dia berkata: “Mengapa Tuhan memberiku harta yang sedikit sedangkan saudaraku yang lain kaya-raya? Tuhan tidak adil!”
Na’uzubillah.
Sepasang suami isteri lama berkahwin, berbelas tahun menanti kehadiran anak. Sedangkan jiran mereka mempunyai sembilan anak perempuan. Akhirnya, mereka pun dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel. Ketentuan Allah tiba, bayi mereka meninggal kerana sakit kuat. Ayah memandang langit mencari jawapan atas takdir Tuhan, dia berkata:“Mengapa tidak Engkau ambil anak mereka yang ramai itu, malah anak kami yang seorang juga Engkau mahu, di mana keadilan-Mu ya Tuhan?”
Na’uzubillah.
Membenci takdir boleh membawa kepada kekufuran.
Membenci maksudnya marah, tidak suka, menolak, menyatakan tidak puas hati dan yang paling ringan ialah mengeluh tanda tidak selesa. Sebaik-baik orang yang bercinta ialah dia redha dengan perbuatan kekasihnya. Apakah perbuatan Allah semuanya baik untuk makhluk-Nya? Ya!
Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya melainkan mereka memilih kezaliman itu sendiri. Ada hikmah di sebalik musibah dan mesti ada kebaikan yang masih tersembunyi bagi mereka yang reda dan sabar. Segala takdir manusia itu berada pada ketentuan ilmu Allah, tiada seorang hamba mengetahui rahsia takdir Allah.
Kisah di dalam surah al-Kahfi banyak memberi pengajaran kepada diri kita. Kisah ilmu Allah yang dikurniakan kepada Khidr, beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang qada dan qadar Allah kepada makhluknya. Menurut hadis yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari yang mafhumnya: “Ketika Nabi Musa berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada tuan? Nabi Musa menjawab: “Tidak ada.” Lalu ditegur Allah: “Ada seorang hamba-Ku yang lebih ilmunya daripada kamu.”
Kemudian Nabi Musa menghadap Khidr untuk berguru kepadanya. Dalam perjalanan mereka berdua berlaku beberapa perkara pelik dilakukan oleh Khidr. Yang pertama, beliau membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah padahal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua.
Perbuatan Khidr jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr itu. Musa menegur Khidr supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr berasa sampailah waktu perpisahannya dengan Musa.
Dia berkata melalui firman Allah bermaksud: “Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang miskin bekerja di laut. Oleh itu, aku bocor dengan tujuan mencacatkan. Kerana di belakang mereka ada seorang raja mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat.
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.
Oleh itu, kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua orang anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang soleh.
Maka, Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya.” Surah al-Kahfi: Ayat 79-82.
Demikianlah rahsia ilmu Allah yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami semua dengan tepat. Qada dan qadar Allah itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah untuk kita.
Hasan al-Basri pernah berkata: Wahai anak Adam, Musa menegur Khidr sebanyak tiga kali, sehingga Khidr berkata: “Inilah saat perpisahanku denganmu.” Itu yang dilakukan oleh Khidr kepada Musa, maka bagaimanakah dengan Tuhanmu yang kamu menentangnya berulang kali dalam sehari? Apakah kamu tidak takut Tuhan akan berkata: “Inilah saat perpisahan-Ku denganmu.?”
Sikap yang terbaik adalah akur dan reda atas apa saja ketentuan. Namun, jangan bersikap menyerah kepada takdir tanpa berikhtiar kerana itu adalah penipuan yang berbahaya. Syarat redha mestilah dengan ikhtiar. Hal ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Beliau dan tenteranya hendak memasuki suatu bandar di Syria. Namun, tertahan oleh wabak menular yang menyerang bandar itu. Panglima tenteranya, Saidina Abu Ubaidah berkata: Apakah tuan lari dari qadak Allah? Umar menjawab: “Ya, kita lari dari qada Allah kepada qadar Allah juga.”
Makna qada adalah ketentuan yang terjadi dan qadar adalah ketentuan yang belum terjadi. Untuk itu, ikhtiar adalah wajib bagi mereka yang mengaku reda atas ketentuan Allah. Dan jangan sekali-kali memilih atas apa Allah pilihkan untuk hidup kita. Seperti sabda baginda bermaksud:
“Apabila kamu ditimpa musibah janganlah kamu katakan: “Sungguh seandainya saya berbuat begini, nescaya akan jadi begini dan begini, tetapi katakanlah: Ini semua ketentuan Allah dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sesungguhnya ungkapan ’seandainya’ itu membuka peluang bagi perbuatan syaitan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
http://nurjeehan.hadithuna.com/2007/01/menolak-takdir-bawa-kepada-kekufuran/
No comments:
Post a Comment