Wednesday, November 3, 2010

Honeymoon Sebelum Masanya


Segala puji hanya milik Allah, Tuhan sekalian alam. Maha Suci Allah yang menciptakan kami ummat manusia, yang punyai akal, punyai emosi juga nafsu.
Terima kasih Allah, dan ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah, sungguh kami makhluk yang mudah benar lupa dan alpa.
Lalai dalam melaksanakan amanah dan suruhan. Mudah pula membuat kerosakan dan melanggar suruhan-Mu. Astaghfirullahalazim...
Dewasa ini, bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Hampir setiap hari kita dijamukan dengan berita yang menyedihkan, kes buang bayi. Bunuh bayi. Campak bayi. Bakar bayi. Tanam bayi. 'Flush' bayi dan macam-macam hal lagi yang tidak terfikir dek akal.
'Hebatnya' akal ciptaan Allah namun mengapa manusia sering menyalahgunakannya?
Mana perikemanusiaan?
Mana rasa takut dan gentar kepada hukuman-hukuman Tuhan?
Mana perasaan belas?
Allahurabbi.
Mungkin bukan perkara baru. Buang bayi sudah lama sinonim dengan masyarakat kita.
Namun apa yang kian menyedihkan adalah kerana kebelakangan ini, masalah keruntuhan moral ini kian merebak dan menular ke dalam masyarakat kita, ibarat barah yang tidak mampu dikawal, menyelinap dan melibatkan pelbagai lapisan umur. Menakutkan.
Banyak kes buang bayi melibatkan remaja bawah umur. Apatah lagi mengandung anak luar nikah. Astaghfirullahalazim. Apa sudah jadi. Apa nak jadi?

Mana salahnya, mana silapnya?

Adakah kerana silap kita sebagai masyarakat yang tidak cakna dan bersikap tidak ambil peduli? Merujuk kes kanak-kanak yang didera sampai mati.
Bukankah ibunya bersekedudukan dengan kekasihnya ketika suaminya dipenjara? Apakah masyarakat terutama ibu bapa kepada wanita tersebut tidak pernah ambil kisah?
Bersikap tidak peduli dan lepas tangan? Itu baru satu contoh, sedangkan disekeliling kita, banyak lagi kes-kes yang lebih kurang serupa.
Apa peranan kita sebagai masyarakat dalam usaha membanteras gejala masalah sosial yang makin memburuk?

Remaja (kanak-kanak) berusia semuda 13 tahun juga buang anak!

Bayangkan, adik-adik kita di rumah, anak-anak kita yang berbaju kurung bertudung putih ke sekolah, sopan dan manis sekali, tapi hakikatnya mereka terdedah dengan pelbagai kemungkinan.
Jangan terlalu yakin bahawa anak-anak dan adik-adik kita itu kekal selamanya bebas dari anasir-anasir jahat?
Jangan terlalu berpuas hati dan percaya kepada mereka bulat-bulat.
Kadangkala, perasaan ingin tahu, curiga dan syak wasangka itu perlu. Luangkan masa, siasat dengan siapa anak kita berkawan.
Periksa beg sekolah anak-anak. Jika ada handphone tengok senarai nama dalam telefon anak-anak.
Periksa apa ada dalam hanphone anak-anak. Selidik ada apa dalam bilik anak-anak.
Itu tanggungjawab ibu dan bapa, sebagai usaha mencegah sebarang kemungkinan buruk yang mungkin terjadi.
Tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, oleh itu, langkah pencegahan perlu dilakukan dan setiap dari kita harus sentiasa berhati-hati.
Mungkin hari ini kita bertudung labuh, tidak pernah bergaul dengan lelaki apatah lagi berzina.
Tapi tahukah anda? Bukan perkara mustahil, malahan di IPTA juga kita sering 'dikejutkan' dengan kes gadis bertudung labuh ditangkap berkhalwat dengan teman lelaki. Na'uuzubillah.
Bukan niat saya ingin memburuk-burukkan mereka yang bertudung labuh, atau berkopiah (baik budi pekerti).
Namun apa yang saya ingin tekankan adalah, kita manusia mudah terpedaya dengan pujukan dan hasutan syaitan dan nafsu jahat. Jangan mudah berpuas hati dengan amalan yang kita ada.
Jangan terlalu yakin dengan 'tahap keimanan' kita. Paras keimanan kita sentiasa berubah-ubah, ada naik dan turun.
Mungkin hari ini kita terpelihara oleh-Nya dari sebarang kemungkaran tapi esok lusa siapa tahu?
Mungkin juga kita menjadi hamba nafsu dan syaitan. Na'uuzubillah.
Oleh yang demikian. Teruskanlah dan kekalkanlah. Sentiasa berhati-hati dan menjaga diri. Jangan biarkan diri terdedah apatah lagi terjebak dalam gejala zina.
Perbuatan haram yang dilarang oleh Allah pastinya bersebab.
Namun begitu, kita manusia sering merasa 'lazat' ketika memilih yang haram.

Mengapa dan kenapa terjadi begitu?

Apakah kerana ketika melakukan kemungkaran syaitan ikut sama?
Bergembira dan bersorak sorai?
Jadi dengan itulah kenikmatannya berganda-ganda?
Bahagiakah hati jika menjadi hamba dan sahabat syaitan?
Bahagiakah jiwa yang dicipta oleh Sang Pencipta dengan kenikmatan yang sementara itu?
Jangan dekati zina. Ibarat menagih dadah, sekali terkena menjadi gian dan ketagih. Mahu lagi dan lagi, sampai bila?
Sedangkan mati bila-bila masa saja akan datang berkunjung. Layakkah kita mencium haruman syurga apatah lagi menjadi penghuni syurga jika kita mati dalam kemungkaran?
Cukup kuatkah kita untuk diseksa dan diazab di neraka? Na'uuzubillah.
Bersyukur jika kita tidak pernah terjebak dengan zina. Dan seandainya kita sudah atau telah terlibat, segerakanlah bertaubat. Jangan bertangguh. Mohon ampun dan kemaafan dari-Nya.
Ramai orang (merujuk kepada thread-thread yang dibuka di iluvislam.com) risau dan runsing memikirkan masa depan, siapa yang sudi mengambil diri sebagai isteri.
Bagaimana penerimaan orang akibat daripada keterlanjurannya.
Dan ramai yang lupa, hidup di dunia cuma sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.
Apalah sangat pandangan orang jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah? Bertaubatlah, mohon ampun dari Allah. Selebihnya, serahkan kepada Dia untuk tentukan jalan hidup kita.
Moga-moga ada sinar bahagia menanti di hadapan, tapi usah terlalu berharap.
Andai kebahagiaan selamanya tidak menjadi milik kita di dunia, berbaik sangka, mungkin Allah ingin terus menguji dan mungkin juga Allah sedang 'menyucikan' kita dari dosa-dosa silam.
Biarlah sengsara di dunia yang sementara, asalkan di negeri abadi kelak, syurga menjadi tempat kita mengutip bahagia.
Mari. Sebagai mereka yang cakna dan peduli tentang nasib ummah, masyarakat sekeliling kita.
Ayuh! Kita berganding bahu, membantu selagi termampu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keburukan dan kewajipan untuk menjauhi dan mencegah zina.
Jauhilah perbuatan 'honeymoon' sebelum tiba masanya.
Ketahuilah, persetubuhan antara lelaki dan wanita juga merupakan antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Namun janganlah kita kotorinya dengan memilih untuk berzina. Bersabar dan pelihara diri dan kemaluan.
Tunggu masa yang betul untuk melunaskannya. Yakni selepas nikah.
Jangan mengambil mudah soal dosa dan pahala kerana akibatnya buruk, hanya Allah yang lebih tahu.
Jangan beri peluang kepada syaitan untuk menggoda dan menghasut kita melakukan kemungkaran.
Sesungguhnya syaitan itu benar-benar licik dan berpengalaman dalam menyesatkan umat manusia. Marilah kita saling mengingatkan.
Moga Allah melindungi kita dan seluruh muslimin dan muslimat. Ingat mati. Ingat mati. Ingat mati.
Dunia hanya sementara. Mati itu pasti. Akhirat itu kekal abadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...